" />

Sunday 13 March 2011

Analogi Taqwa

Pada suatu hari, seorang kanak-kanak ternampak seorang lelaki tua menjual belon yang boleh terbang tinggi. Dia kagum dengan belon itu. Dia terus membeli belon biasa dan ditiupnya dengan harapan belon itu juga terbang naik ke udara. Tetapi harapannya musnah. Belon itu menjunam ke bumi. Dek kerana semangat ingin tahu, budak itu terus pergi bertemu pakcik penjual belon bertanyakan rahsia belonnya boleh terbang ke udara. “Senang saja,” jawab pakcik itu. “Perbezaannya adalah pada dalamannya. Kamu menggunakan angin biasa tetapi pakcik menggunakan gas helium.”

Begitulah analoginya perbezaan antara seorang manusia dengan manusia lain. Daripada sudut luarannya, manusia kelihatan lebih kurang sama tetapi dalaman mereka berbeza. Aspek dalaman yang menentukan sama ada individu itu menjunam ke lembah kehinaan ataupun terbang menuju kemuliaan. Untuk ‘terbang’ menuju kemuliaan, manusia memerlukan helium yang khusus iaitu ‘helium’ taqwa. Dalam surah al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu.” Sebarang perubahan yang positif perlu bermula dengan taqwa.

Taqwa adalah kekuatan dalaman yang hebat lagi unik. Dengan taqwa para sahabat mampu mengukir sejarah yang gemilang di dunia hingga ke hari ini masih disebut-sebut dan menjadi pengajaran kepada masyarakat. Apakah maksud taqwa? Saidina Omar al-Khattab pernah bertanya maksud taqwa kepada sahabat Ubai bin Kaab. Ubai berkata : “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?” jawab Omar : “Ya, pernah.” Ubai bertanya lagi : “Apa yang kamu lakukan ketika itu?” Omar berkata : “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh.” Berkata Ubai : “Itulah taqwa.” Daripada jawapan Ubai bin Kaab, taqwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak melakukan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh melaksanakan setiap amal ibadah yang dituntut.

No comments:

Post a Comment